Thursday, 23 April 2009

Masjid

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim
Assalammualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuhu

Rindu sungguh dengan rumah Allah. Hati ini ingin sungguh rasanya merasa keheningan dan bait-bait ayat Allah yang agung dibacakan dimana ayat-ayat tersebut bersatu dengan darah yang mengalir ke jantung dan membasahi seluruh genap tubuh dengan kalimah suci dari Allah ta'ala. Subhanallah. Tidak mengapa, disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan, bait-bait yang didengari dan dihayati hasil bacaan ahlul bait (ahli keluarga - sahabat di UK) semasa solat jemaah pun sudah menjadi pengubat rindu buat masa ini. Alhamdulillah [T_T].

Masjid Nabawi

Kali pertama solat di masjid setelah lama tidak menjejakkan kaki ke rumah Allah adalah di Mesir pada tahun lepas. Tiada kata yang dapat diucapkan pada waktu itu, walaupun kami hanya solat jama' dan bukan pada waktu solat jemaah di awal waktu. Subhanallah. Di masjid al-Azhar pula, kami hampir tersalah solat di tempat belajar al-Quran kanak-kanak tetapi, memang tiada tempat yang menenangkan melainkan di rumah Allah.

Masjid, pada zaman Rasulullah s.aw memainkan peranan penting dalam segala aspek terutamanya dari aspek pendidikan. Oleh kerana saya bakal guru, terpanggil rasanya untuk berkongsi dengan semua kepentingan masjid dari aspek tarbiyyah. Di sini, saya ingin berkongsi satu artikel yang (seperti biasa), telah saya kopi dan pasta dari sebuah website. Moga ia memberi manfaat dan membuatkan kita tergerak untuk mengimarahkan dan memakmurkan masjid (terutamanya bagi lelaki). Insya Allah.

Pendidikan Islam ini tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa. Apa yang ingin saya sebutkan di sini ialah pendidikan agama ini juga perlu dibudayakan dalam masyarakat kita. Masjid-masjid juga harus berperanan menjadi pusat tarbiah kanak-kanak. Di Yaman, golongan pemuda memainkan peranan yang cukup besar dalam memakmurkan masjid-masjid. Pada musim cuti sekolah, mereka akan menganjurkan kem hafazan al-Quran untuk pelajar sekolah rendah. Setiap hari, para pelajar ini akan diberikan peluang memperdengarkan bacaan al-Quran daripada surah-surah yang telah dihafaz di hadapan para jemaah masjid selepas solat berjemaah. Bukan sekadar itu, mereka juga diajar untuk menghafaz hadis-hadis Nabi s.a.w berserta doa-doa harian. Sebenarnya inilah yang dapat membantu keberkesanan pendidikan agama yang dilaksanakan di peringkat sekolah. Para pelajar dapat menghayati apa yang dipelajari di sekolah dalam suasana kehidupan masyarakat. Di Yaman, di kebanyakan masjid, kita akan dapati terdapat pengajian kitab-kitab turath merangkumi ilmu fekah, tafsir, hadis dan lain-lain. Yang paling penting, satu ruang khas akan diperuntukkan bagi pengajian al-Quran untuk kanak-kanak.

Di sesetengah masjid, pengajian al-Quran ini tidak hanya tertumpu pada musim cuti sekolah. Malah, ianya sudah menjadi satu trend institusi masjid itu sendiri. Iaitu berperanan sebagai pusat pengajian al-Quran dan ilmu-ilmu agama. Setahu saya, pengajian ini dibuat secara percuma dan kebiasaannya dikendalikan oleh imam masjid atau anak-anak muda tempatan yang sudah dapat menguasai ilmu tajwid dan fardhu ain dengan baik. Selepas solat asar dan maghrib berjemaah, kanak-kanak akan beredar ke bahagian belakang masjid dan duduk dalam halaqah masing-masing. Ada juga yang kelihatan memperdengarkan hafazan al-Quran di hadapan imam masjid. Melalui sistem ini, ada kanak-kanak yang sudah menghafal 10 juzuk sehingga seluruh 30 juzuk al-Quran al-Karim! Mereka juga akan memperolehi sanad al-Quran yang bersalasilah sampai kepada Rasulullah s.a.w sekiranya memperdengarkan bacaan di hadapan syeikh-syeikh yang memiliki sanad al-Quran.

Malah di masjid-masjid ini juga, kanak-kanak ini telah diasuh semenjak kecil untuk memahami tanggungjawab diri mereka terhadap umat Islam yang lain. Salah serang guru kami Syeikh Hilal Hizam Sanad pernah mempelawa kami menziarahi masjid beliau. Kami diminta menyampaikan sepatah dua kata di hadapan para pelajar yang berjumlah sekitar 100 orang untuk memberikan kata-kata semangat kepada mereka. Salah seorang rakan saya dari Kosovo telah berucap suatu kata-kata yang meninggalkan kesan dalam hati mereka. Katanya, “..kita semua adalah umat yang satu. Tiada bezanya bangsa Arab, Asia atau Eropah melainkan dengan takwa.. kerana itu kita mesti mengembalikan kesatuan umat Islam ini di bawah pemerintahan khilafah pada suatu hari nanti.”

Selepas itu, salah seorang pemuda yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak ini bangun lalu berkata: “Mereka ini telah datang dari jauh untuk mempelajari al-Quran dan ilmu-ilmu Islam, adakah kamu semua yang berada di sini hendak bermain-main?” Mereka menjawab, “Tidak!” Sambungnya lagi, “Kamu semua mesti bersungguh-sungguh mempelajari al-Quran dan beramal dengan ajaran-ajaran Islam. Pada hari ini umat Islam menjadi hina apabila mereka meninggalkan al-Quran dan Sunnah. Kita mesti mengembalikan kekuatan umat Islam. Siapakah yang akan membebaskan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa?!” Mereka menjawab beramai-ramai, “Saya!!”. “Siapakah yang mahu mati sebagai syuhada?” Mereka menjawab lagi dengan suara yang deras, “Saya!!!”

Tujuan saya menceritakan ini semua bagi menggambarkan kepentingan masjid di Yaman sebagai pusat tarbiah untuk mendidik generasi muda mereka dengan al-Quran dan akhlak yang mulia. Kerana itu dalam peristiwa Hijrah, perkara yang utama dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ketika sampai di Madinah ialah membina masjid. Di situlah pusat perpaduan dan kekuatan umat Islam. Di situlah tempat untuk kita mendidik generasi muda kita.

Subhanallah. Alhamdulillah. La ilaha ilAllah. Allahu akbar.
Allahumma ya muqqalibal qulub, thabbits qulubana 'ala deenik.

Wallahua'lam
segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam

3 comments:

Spices of Life said...

salam,
as usual your entry moves me to Him. it is lonely to be a muslim in this part of the world. at times i feel so weak to continue the sunnah. i do thank you for continuously writing about Allah and His true religion.
Once again , thank you.

TRAVELLER said...

WslmWbt.

It is not easy to sustain the strength to be strong (in terms of faith) in life. But, when Allah loves His slave, Allah will give that strength because Allah knows that we love Him.

Be strong akak. I know you are strong, walaupun we have never met. Always remember Allah is so near, closer than your jugular vein and Allah always listens when others not.

Take care ye.
*hugs*

p/s: Tahniah. Is your daughter nak bina masjid (kahwin)? Subhanallah. Perkahwinan melengkapkan separuh dari ibadah. TAHNIAH. Mg mendapat cucu/cicit/keturunan yang soleh & solehah serta beriman, bertaqwa & berilmu serta beramal dgn ilmu yang bermanfaat.

Love from Plymouth, UK

Spices of Life said...

Thank you. Yes indeed my eldest daughter is getting married nextweek. Soon after her wedding her husband will bring her back to Malaysia.. Sighh tinggal la akak and her baby sister. And you what are you doing in Plymouth. You wrote that you will be teaching,.And what will you be teaching?

Life is for Rent

Life is for Rent
"Ya Tuhan kami. Berikanlah kami Rahmat dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami" [al-Kahf:10]